Alat-alat muzik Tradisional Melayu

Gambus

Gambus merupakan sejenis alat muzik bertali tradisional di Malaysia. 
Ia berbentuk seperti buah pear yang dibelah dua. 
Gambus tergolong dalam alat muzik jenis ‘petik’ yang dikatakan berasal dari Timur Tengah.
Gambus terdapat dalam pelbagai jenis iaitu dari gambus tiga tali sehingga gambus yang mempunyai 12 tali.

Gendang

 
Gendang ialah alat bunyian yang diperbuat daripada kulit binatang seperti kerbau, kambing atau lembu. Ia merupakan salah sebuah alat muzik dalam keluarga genderang. 
Setiap bangsa seperti Cina, Melayu dan India mempunyai gendang dengan nama yang tersendiri.
Gendang boleh didapati dalam pelbagai saiz dan kegunaan.
Ada gendang yang digunakan untuk persilatan bagi orang Melayu. 
Ada gendang digunakan bagi tari menari dan ada juga yang digunakan untuk menyambut perayaan atau pertabalan Diraja.

Gong

 
Gong merupakan sejenis peralatan muzik 'idiophone' yang berasal dari Asia Selatan dan Asia Tenggara. Gong telah wujud semenjak zaman gangsa lagi dari Yunan. Gong juga dimainkan bagi mengiringi permainan wayang kulit di Indonesia. Gong merupakan alatan penting yang berperanan sebagai bunyi tulang belakang dalam essemble persembahan muzik gamelan.
Gong terdiri daripada pelbagai saiz untuk menghasilkan bunyi yang berbeza setiap satunya dan dimainkan bersama-sama mengikut rentak lagu. Kebiasannya, 1 atau 2 drum turut dimainkan serentak untuk mempelbagaikan irama muzik yang lebih unik. Gong telah banyak dijumpai di seluruh semenanjung Indochina dan kepulauan Nusantara ebagai alat utama dalam upacara khas dan persembahan muzik tradisional.

Di Malaysia, jumpaan terawal bentuk awal gong adalah gendang Dong Son yang dijumpai di Batu Buruuk, Terengganu pada 1974. Ia dihasilkan sejak 600 BC atau lebih awal sehingga Abad ke-3 dan merupakan salah satu contoh hasil kerja logam budaya itu yang terbaik. Ini merupakan hasil pendedahan dari perdagangan rempah antara India dan Cina yang berlaku sejak zaman Yunani lagi dan juga hasil kerajaan Melayu tua seperti Champa, dan banyak nama tempat di Kelantan, dan Terengganu menggunakan nama Gong.

Alat ini terjamin berkualiti tinggi kerana cara penbuatannya adalah sukar dan memerlukan kos yang agak tinggi. Alat ini diimport dari Indonesia, terutama dari Jawa. Gong tempatan mempunyai 'shallow rims' dan 'small boss'. Melodi yang dihasilkan adalah untuk memberi isyarat pada permulaan dan penghabisan sesuatu lagu.

Semasa pemerintahan kerajaan-kerajaan Nusantara dahulu, gong kecil atau canang akan dikandar oleh pesuruh raja yang akan berkeliling kampong-kampong bagi menyebarkan berita. Gong akan dicanang bagi mengumpulkan penduduk kampung dan titah raja akan dibacakan oleh pesuruh raja.


Kompang

Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang. Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing.

Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang, bertujuan menguatkan bunyi kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan.

Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab.

Kompang biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.

Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak. Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri dan upacara-upacara tradisi lain.

Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi 'bum' di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup/rapat. Bunyi 'pak' di perolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.

Paluan kompang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu paluan tradisi dan paluan moden ataupun kreatif. Paluan tradisi adalah paluan di mana memukul kompang sambil menyayi ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahsa Melayu klasik. Manakala paluan moden pula di mana paluan tersebut diselitkan dengan gerakan ataupun tarian. Di Sabah, pertandingan kompang sering diadakan untuk memartabatkan kembali kesenian Melayu yang telah hampir pupus ini.

Rebana

Rebana ialah sejenis alat muzik tradisional yang sering dimainkan bagi mengiringi lagu-lagu budaya.

Bagi masyarakat Melayu di negeri Pahang, permainan rebana sangat popular, terutamanya di kalangan penduduk di sekitar Sungai Pahang. Tepukan rebana adalah bagi mengiringi lagu-lagu tradisional seperti indong-indong dan pelanduk-pelanduk.

Selain daripada rebana bersaiz biasa, terdapat juga rebana besar yang dimainkan pada hari keraian bagi pertandingan menghasilkan bunyi dan irama yang dikenali sebagai Rebana Ubi.

Seruling

Seruling merupakan sejenis alat muzik yang ditiup. Ia diperbuat daripada buluh satu ketika dahulu. Namun kini seruling moden ada yang diperbuat daripada logam aluminium dan plastik. Cara memainkannya adalah dengan meniup. Akan tetapi cara meniup seruling hendaklah betul bagi mengeluarkan bunyi yang baik.